Trips

[Archives]

Office Matters





Pengalaman di Macau Oleh Intan Syaheeda Abu Bakar
September 2006

           St Paul's Ruins - MGTO photo                         

Macau? Tatkala dimaklumkan bahawa saya perlu ke Macau, timbul rasa girang di hati kerana ini merupakan kali pertama saya ditugaskan untuk ke luar negara atas urusan kerja setelah hampir 3 tahun bekerja di Badan Warisan Malaysia. Beberapa persiapan seperti pembaharuan pasport dan insurans perjalanan perlu disediakan agar segalanya berjalan dengan lancar.

Program “MegaFam”(Mega Familiarization) ini anjuran Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau atau dikenali dengan MGTO (Macau Government Tourism Office) bagi mempromosikan Macau sebagai salah satu tapak warisan dunia. Macau telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia yang ke-31 di China pada sesi ke-29 World Heritage Committee yang dihoskan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada 15 Julai 2005.

Lawatan selama 4 hari ini dihadiri oleh seramai 90 wakil media/wartawan dari 13 negara dan Malaysia diwakili seramai 6 orang dari suratkhabar dan majalah tempatan serta badan bukan kerajaan.

Rombongan Malaysia selamat mendarat di Macau International Airport yang terletak di Pulau Taipa yang dihubungkan dengan Macau melalui jambatan Persahabatan Ponte da Amizade (Friendship Bridge), yang dibina pada tahun 1994 bagi memudahkan perhubungan dari pintu sempadan ke China yang terletak di utara Macau dengan bahagian utara Pulau Taipa. Terpegun sebentar melihat kilauan lampu yang menghiasi jambatan ini, ditambah dengan kerlipan lampu dari 2 lagi jambatan yang menghubungkan Pulau Taipa dengan Macau iaitu Jambatan Macau-Taipa (Governor Nobre de Carvalho Bridge) yang dibina pada tahun 1974 dan jambatan Sai Van yang dibuka secara rasmi pada Disember 2004.

Macau dikatakan mendapat nama dari sebuah teluk yang dipanggil Teluk A-Ma (A-Ma Gau atau A-Ma Bay) di Barra Point. Terdapat sebuah kuil yang diberi nama kuil A-Ma sempena nama tuhan Taoist(A-Ma) yang menjadi pelindung nelayan-nelayan, telah dibina di situ sekitar abad ke-16. Menurut lagenda, A-Ma iaitu seorang gadis miskin berkeinginan ke Canton. Seorang pemilik tongkang yang kaya telah menawarkan diri membawanya tetapi dia enggan mengikutnya dan bersetuju mengikut seorang nelayan yang rendah diri. Ketika belayar, ribut telah melanda dan memusnahkan segala-galanya kecuali bot yang dinaiki A-Ma. Ketika tiba di Macau, dia telah lenyap dan muncul kembali sebagai tuhan di tempat di
mana nelayan-nelayan membina kuil untuk beliau (ketika Dinasti Ming). Perayaan bagi memperingati A-Ma adalah pada pada hari ke-23 dalam bulan ke-3 dalam kalendar mereka (April atau Mei). Kebetulan ketika kami berkunjung ke sana, mereka dalam proses persiapan meraikan perayaan tersebut.

Jikalau tidak melihat masyarakat Cina di sini dan juga papan tanda kedai dalam tulisan Cina, sudah pasti saya akan menyangkakan berada di sebuah negara Eropah. Manakan tidak, terpegun seketika apabila berjalan-jalan sekitar bandar Macau yang dipenuhi dengan bangunanbangunannya bercirikan senibina yang berasal dari Portugal ditambah lagi dengan ubin-ubin jalanannya yang dibawa khas dari Portugal. Ini membuatkan saya tertanya-tanya dan tertarik untuk mendalami sejarah pendudukan Portugis di Macau. Teluk A-Ma dipercayai erupakan tempat pertama Portugis mendarat di Macau pada abad ke-16. Sejak itu, Macau telah berada di bawah pemerintahan Portugis selama lebih kurang 500 tahun sebelum diisyhtiharkan sebagai sebuah negara yang bebas pada tahun 1999. Suatu tempoh masa yang cukup lama bukan, untuk menerapkan identiti Portugis ke dalam apa jua aspek kehidupan masyarakat di Macau. Ini boleh dilihat melalui papan tanda kedai, papan tanda jalan dan juga nama jalan seperti yang kita boleh lihat di Kelantan di mana terdapat papan tanda dalam tulisan Jawi dan Rumi. Yang dapat dilihat di Macau adalah kesemuanya dibuat dalam dua bahasa iaitu Cina dan juga Portugis. Contohnya satu jalan yang dipanggil San Ma Lo dalam bahasa Cina dan Avenida de Almeida Ribeiro dalam bahasa Portugis. Papan tanda jalan ini telah direka dengan rekabentuk standard kelihatan di setiap jalan yang disusuri.

Leal Senado - MGTO photoPengaruh Portugis juga dapat dilihat melalui budaya mereka yang gemar mempunyai tempat-tempat awam serta taman untuk berehat, berekreasi dan sebagainya. Budaya ini juga telah dibawa dan diperkenalkan kepada penduduk Macau. Ini dapat kita lihat pada kewujudan lapan Dataran (Square) di sini iaitu Dataran Barra, Dataran Lilau, Dataran St. Augustine, Dataran Senado, Dataran Cathedral, Dataran St. Dominic, Dataran Company of Jesus dan Dataran Camões. Dataran Senado misalnya, telah diturapkan dengan batu bundar (cobbles) bagi memudahkan aktiviti awam dan perayaan dijalankan di sini. Batu bundar berwarna hitam putih, khas dibawa dari Portugal yang disusun mengikut corak ombak ini membantu menyerikan lagi dataran ini yang dikelilingi bangunan-bangunan bersejarah serta menambahkan suasana Mediterranean. Dataran Senado ini memang ideal untuk dilawati bagi mereka yang gemarkan bersiar-siar sekitar bandar lama yang dikelilingi bangunan-bangunan bercirikan senibina tradisi Portugis. Macau juga terkenal dengan The Ruins of St. Paul ataupun Runtuhan Gereja St. Paul yang dibina sekitar 1602 dan 1637. Gereja ini telah ditafsirkan sebagai Monumen Kristian terhebat di seluruh bumi Timur. Terkenal dengan penampilannya yang unggul dan seni ukiran yang halus, memaparkan senibina Gereja St. Paul dengan gaya ‘European Renaissance’ dan juga senibina ketimuran yang menunjukkan combinasi yang baik antara karakter senibina Cina dan Barat. Ia telah dibina oleh orang buangan Jepun Kristian (Japanese Christian exiles) dan tukang pahat tempatan di bawah pantauan Italian Jesuit Carlo Spinola.  Malangnya, api telah memusnahkan gereja tersebut pada tahun 1835 tetapi mujur façade dan tangganya masih boleh diselamatkan, dipulihara pada tahun 1990 hingga 1995 dan bahagian belakangnya telah didirikan muzium. Façadenya penuh dengan seni pahatan batu yang menceritakan tentang Gereja Katolik di Asia. Terdapat pahatan menggambarkan tentang santo(saint) dan perawan, simbol syurga dan pensaliban, malaikat dan syaitan, naga cina dan kekwa Jepun serta kapal layar Portugis dan amaran suci dalam bahasa Cina. Kini ianya menjadi mercu tanda utama Macau yang mempunyai nilai sejarahnya yang amat berharga sebagai sebuah monumen yang menjadi saksi sejarah Macau.

Bagi penggemar sejarah, lawatan ke muzium-muzium di Macau amat menjanjikan satu kepuasan kerana terdapat 1 pakej tiket istimewa iaitu lawatan ke Muzium Grand Prix, Muzium Wain, Muzium Maritim, Muzium Lin Zexu, Muzium Kesenian Macau dan Muzium Macau (Museu de Macau) yang membolehkan anda melawat kesemua muzium ini dalam masa 5 hari dengan 1 tiket sahaja berharga MOP$25.00 (Nilai mata wangnya dipanggil Patacas dan duit syilingnya adalah Avos) atau bersamaan dengan RM 12.50 untuk dewasa dan MOP $12.00 atau bersamaan RM6.00 untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas. Selain itu, terdapat begitu banyak muzium-muzium lain yang boleh dilawati di sini seperti Muzium Treasure of Sacred Art, Crypt & Museum of Sacred Heart, Rumah Memorial Dr. Sun Yat Sen, Muzium Bomba, Muzium The Holy House of Mercy of Macau, Muzium Rumah-rumah Taipa, Muzium Alam Semulajadi dan Pertanian, Muzium Handover Gift of Macau, Muzium  Gramofon, Pameran Warisan Pajak Gadai Tradisi, Muzium Kebudayaan Jade dan Muzium Biro Keselamatan Awam.

Muzium-muzium di Macau amat menarik penyampaian ceritanya bagi mendalami sejarah dan budaya Macau. Muzium Maritim misalnya ditampilkan dalam bentuk kapal layar berlabuh di pelabuhan sebagai satu tarikan pelancong. Muzium ini dikatakan mempamerkan tradisi dan cara hidup nelayan di Macau dan Selatan China beserta dengan pameran jenis-jenis kapal, peralatan dan cara menangkap ikan, jenis-jenis siput serta tidak dilupakan model rumah nelayan. Malangnya, semasa saya berada di Macau ianya ditutup untuk pengubahsuaian. Selain itu, saya berkesempatan berkunjung ke Museu de Macau yang dibina di dalam kubu Monte. Yang menariknya muzium ini adalah bahan pamerannya yang pelbagai bagi menggambarkan kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat di Macau. Metodologi penyampaiannya juga adalah menarik dan mampu memberikan input yang amat berguna tentang sejarah Macau. Contohnya adalah seperti mekanisme bunyi dan lampu bagi menggambarkan suasana kehidupan masyarakat pada masa tersebut, peralatan pandang dengar bagi sejarah lisan, video interaktif dan sebagainya yang pasti digemari kanak-kanak!

Jika berkunjung ke Macau, jangan lupa untuk menikmati tat telur di sini. Asalnya tat telur ini merupakan makanan tradisi yang terkenal di Portugal. Apabila mereka datang ke Macau, mereka turut memperkenalkan tat ini kepada penduduk tempatan. Nyata sekali disebabkan oleh keenakannya, ia amat digemari oleh penduduk tempatan sehingga mereka mengubah resepi pembuatan tat telur ini agar lebih sesuai dengan selera mereka. Terdapat dua jenis tat telur iaitu Tat Macau dan Tat Portugis. Bezanya adalah Tat Portugis lebih manis. Kunjungilah sebuah kedai yang terkenal dengan tat telurnya di Pulau Coloane yang dikenali sebagai Lord Stow’s Bakery. Saya berpeluang merasai sendiri keenakan rasa tat telur ini dan tidak pernah saya merasai tat telur seenak buatan Pulau Coloane ini. Kerangupan pastri tat ini tatkala dimakan ketika masih panas beserta dengan keenakkan ramuan telurnya pasti membuatkan anda ingin menikmatinya buat kali yang kedua.

Sistem pengangkutan awam utama di sini adalah kereta dan juga bas-bas mini yang sering kelihatan dalam dramadrama siri Hong Kong. Bas mini ini dilengkapi dengan sistem ‘Touch n Go’ seperti di sini dan yang lebih menarik perhatian saya adalah bas mininya dilengkapi dengan meter had laju yang dapat dilihat oleh seluruh penumpang. Jadi, jangan sesekali cuba untuk membawa bas melebihi had laju yang dibenarkan! Selain itu, bas ini juga dilengkapi oleh CCTV untuk memantau pintu belakang bas agar penumpang selamat turun dari bas. Selain itu, terdapat juga kereta kabel “Guia Cable Car” yang hanya bergerak dari atas bukit Guia ke bawah atau sebaliknya selama 80 saat! Tambangnya hanya MOP$2.00 atau bersamaan dengan RM 1 dan yang lebih menjimatkan, anda akan
dapat harga istimewa MOP$3.00 atau RM 1.50 sekiranya membeli tiket pergi-balik!

Outside A Ma Temple - photo Lim Ee LinMelalui pemerhatian saya sepanjang berada di Macau, kerajaan Macau telah bertungkus-lumus menyusun strategi
memelihara dan memulihara warisan senibina yang menjadi saksi sejarah perkembangan Macau. Kerajaan dan masyarakat Macau bertindak sensitif dan progresif dalam membuat penelitian sewajarnya di atas apa jua cadangan pembangunan agar ianya tidak memberikan impak negatif ke atas bangunan-bangunan lama lagi bersejarah ini. Bukan itu sahaja, diadakan juga acara tahunan seperti pertunjukan musikal dan sebagainya di tapak-tapak warisan ini bagi memupuk semangat cintakan warisan senibina Macau di kalangan penduduk setempat. Jadi, di sini kita dapat lihat bahawa strategi, pelan tindakan dan promosi yang diimplementasikan oleh kerajaan Macau dirancang dengan begitu teliti sekali sehingga mampu dianugerahkan dengan anugerah berprestij UNESCO pada tahun lalu dan saya akui ianya memang berbaloi. Sekiranya setiap negara yang kaya dengan monumen, bangunan atau tapak yang berkepentingan dalam sejarah negara  tersebut mampu mengaturkan pelan konservasi kawasan yang komprehensif dengan mengambil contoh usaha kerajaan Macau ini, maka bangunan lama atau tapak bersejarah yang sudah ditinggalkan mampu ‘bernyawa’ kembali seperti waktu kegemilangannya dahulu.

 


EXTENDED: “Warisan Kertas 2” - Exhibition and Sale of Books, Maps, and Ephemera on Malaya and Borneo By Popular Picture History Resources


News & Announcements



Events


Please subscribe to our mailing list to receive our e-newsletter.

Subscribe Unsubscribe


HOME | ABOUT US | EDUCATION | TECHNICAL CONSULTANCY & PROJECTS | PUBLICATIONS
EVENTS | GIFT SHOP | RESOURCE CENTRE | LINKS | NEWS


© 2003-2010 Badan Warisan Malaysia. All Rights Reserved
Site produced by Inscribe Webmedia